Saturday, November 27, 2010

Banjir di Kedah : - Bkn kerana hujan @ air dari Hatyai, tp pembinaan landasan keretapi berkembar oleh GAMUDA jadi penyebab?

Tolong habag mai tang mana Kerajaan Negeri ‘lepas tangan’ isu banjir?
Petikan ini adalah terus dari Pejabat Menteri Besar Kedah
Sumber: http://wartakedah.net/index.php?option=com_docman&task=doc_details&gid=14&Itemid=57&lang=ms
 WARGA KEDAH WAJIB BACA OK!

Berikut adalah transkrip penuh penjelasan oleh YAB Menteri Besar Kedah berhubung isu banjir.
UNTUK makluman, Kerajaan Negeri sudah menyalurkan bantuan pada hari pertama banjir dengan mengambil tindakan segera di mana kita memberi fokus tiga perkara dalam mengendalikan mangsa banjir dari segi penempatan mangsa iaitu Pengarah Operasi Peringka Negeri ialah Setiausaha Kerajaan, Peringkat Daerah ialah Pegawai Daerah dan soal penempatan ialah Penghulu.

Kita mengkoordinasi dengan semua agensi kerajaan termasuklah pihak PDRM, ATM, Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam, Pasukan Relawan, JKR, perubatan dengan semua sekali serentak naik. Itu operasi kita dari hari pertama kita menghadapi banjir dan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan bekalan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat. Semua penempatan peringkat awal ditanggung oleh Kerajaan Negeri sehingga pihak lain datang memberi bantuan termasuklah NGO dalam negeri dan luar Kedah. Pada peringkat awal sehingga hari ini pun memang Kerajaan Negeri sediakan peruntukan dan semua itu disalur melalui Pejabat Daerah.

Masalah di peringkat awal
Bagaimanapun pada peringkat awal memang kita hadapi sedikit masalah kerana air naik cepat dan kita bertindak berdasar kepada nasihat dari pihak agensi tertentu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, PDRM dan beberapa agensi lain seperti Bomba dan seumpamanya.
Tentang kejadian banjir kali ini air naik dengan pantas di tempat-tempat rendah dan bahaya. Berdasarkan maklumat inilah, kita sediakan tempat pemindahan. Keduanya kita maklumkan kepada penduduk supaya meninggalkan rumah mereka dan datang ke tempat pemindahan
Ada yang dapat menerima nasihat tapi terdapat juga yang berdegil tidak mahu berpindah. Mereka ini masih berat hendak meninggalkan rumah dan akhirnya air naik tinggi terpaksa juga berpindah. Dalam keadaan seperti ini beberapa masalah timbul bagi anggota penyelamat menjalankan tugas. Jalanraya sudah terputus. Jalan raya menjadi ‘sungai’, kenderaan tidak boleh lalui, kenderaan ringan tidak boleh pergi kenderaan beratpun tidak boleh sampai. Maka kita kena pergi dengan motorbot tentera atau Bomba. Tapi bila sampai separuh jalan tidak boleh pergi kerana tempat itu tiada air. Di sebelah sana ada air jadi macam pulau. Jadi melambatkan. Itu (ada pihak) yang mengatakan kita lambat memberi pertolongan. Kita memerlukan kerjasama dari semua penduduk. Kita nasihat dan berusaha membantu. NGO dan orang ramai ikut membantu untuk bawa mereka yang terkandas.Kemudian bila sampai ke tempat penempatan berlaku masalah lain pula.
Kita buat persiapan untuk 3,000 tiba-tiba yang datang 4,000. Mulanya (ada yang) tidak mahu datang tetapi keadaan memaksa datang. Bila sampai kita hendak sediakan makan tengahari dan malam.Alhamdulillah semuanya kita dapat atasi dengan cepat. Ini masalah pada peringkat awal sahaja.

 

Bekalan elektrik terputus 
Akhirnya berlaku masalah bekalan elektrik terpotong. Air bersih tidak boleh didapati kerana air mentah tidak boleh dirawat lagi. Kita terpotong air bersih.
Pihak berkenaan tidak boleh pergi ke loji kerana jalanraya sudah jadi laut. Jadi dengan sebab itu kita terpaksa cari bantuan air. Ini kerana SADA tidak cukup lori dan peralatan. Dari sinilah terjadi sedikit masalah. Tapi selepas dua hari kita mendapat bantuan daripada Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Mereka hantar air bersih dan edar ke semua tempat penempatan dan hospital. Semua tangki berkerja 24 jam. Lebih 100 tangki ditempatkan di pusatpusat pemindahan.
Di sinilah ada pihak-pihak tertentu kata kita tak buat kerja. Sebenarnya kita tidak gagal. Kita berjaya atasi masalah ini. Banjir satu kejadian yang tidak diduga. Tapi semua agensi Kerajaan Negeri dengan kerjasama dengan Kerajaan Pusat telah berjaya mengatasi masalah yang timbul dan bantuan dapat disalurkan seperti dijadualkan. Ini yang kita buat.Makanan kita boleh masak tidak ada masalah. Makanan Kerajaan Negeri salurkan ke semua penempatan.Cumanya ada tempat-tempat yang lambat menerima kerana tak boleh keluar dia tak dapat makanan kita tak boleh hantar keranajalanraya terputus.
Itu saja. Sekarang ini masih kita menerima bantuan-bantuan dan kita meningkatkan peruntukan kita daripada RM 600 ribu kepada RM 2 juta bagitujuan beri bantuan semasa mangsa berada di tempat pemindahan.
Selain itu kita menerima bantuan zakat sebanyak RM500 ribu yang diserahkan oleh KDYMM Tuanku Sultan dan RM100 ribu sumbangan peribadi baginda.

Menteri silap
Dakwaan Menteri Kebajikan Masyarakat bahawa kita hanya mengharap bantuan Pusat adalah silap. Dia silap. Dia datang satu jam sahaja (sewaktu) kita sudah duduk 60 jam. Bagaimana dia boleh buat kenyataan tanpa datang ke Bilik Gerakan bencana negeri. Dia tak hubungi pihak autoriti negeri. Bilik Gerakan utama negeri. Sama ada peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri atau pejabat Daerah. Dia hanya melawat tempat tertentu sambil mendengar laporan daripada Ketua Umno seorang dua.
Kita kerja. Semua pegawai berjaga siang malam. Dia buat kenyataan sedap-sedap kononnya kerajaan Negeri lepas tangan. Menteri itu dapat maklumat dari tepi jalan. Sepatutnya dia mai dengar di bilik Gerakan Negeri. Di situ ada polis dan tentera. Ada jenderal yang duduk bersama kita. Ketua Polis, Ketua Bomba serta semua pengarah-pengarah berada bersama kita dalam Jawatankuasa Bencana Alam. Kenapa buat kenyataan yang tak cerdik. Itu kenyataan politik. Hari ini (mereka dakwa) banjir disebabkan air datang dari Hatyaai. Itu tak betul. Kita cakap masalah banjir berdasar laporan dan kajian daripada pihak agensi yang terlibat.

Agensi yang bertanggungjwab.
Kepakarannya yang ada. Pengarah JPS tahu pergerakan air dan JKR kita dengar maklumat hari itu baru kita buat kenyataan. Hujan bermula di Padang Terap bukan dari Hatyaai. Kemudian melimpah di Padang Terap dan tradisinya akan mengalir ke Daerah Pokok Sena, mengalir ke Dehrang dari situ turun ke Wang Tepus, Jitra dari Dehrang turun ke Sungai Tajar dan akan pergi ke Sungai Haji Idris, (sepatutnya) sebahagian pergi ke kawasan Pendang tapi tahun ini air tidak pergi ke kawasan Pendang. Tapi air pergi ke Dehrang terus Wang Tepus tembus sampai Changloon. Air memenuhi kawasan rendah di Jitra, barulah mengalir ke kawasan sebelah barat memenuhi Kubang Pasu, Pulau Kerengga, Pulau Timbul dan kawasan Tunjang, Megat Dewa dan kawasan sekitar Gunong.
Masalah perjalanan air diganggu oleh landasan keretapi double tracking. Air tertumpu di Alor Setar. Landasan keretapi yang sedang dibina sepatutnya ada saluran yang lebih besar. Tapi saluran itu bilangannya sikit dan kecil. Maka air lambat keluar, memakan masa. Itulah sebabnya berlaku banjir di  tempat-tempat yang tak pernah banjir, rumah saya telah tenggelam kali ini. Ada yang sampai ke dada. (Ada yang) Tinggal selama 20 tahun, ada yang sudah 30 tahun tidak pernah banjir. Laporan pihak JPS mengatakan air tidak boleh bergerak kerana terhalang oleh landasan keretapi ini. JPS yang juga hak (bersama) Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Pengarahnya Kerajaan Negeri yang bayar gaji walaupun dia pegawai Persekutuan. Adakah TPM bercakap dengan Pengarah JPS atau Pegawai Mada?

Gamuda (Syarikat Pembinaan Landasan Keretapi  Baru)
Jadi kita sebut kita minta supaya jalan air yang sempit ini diperbesarkan. Kita panggil hari itu supaya (Gamuda) datang bincang. Petang baru datang dia mesyuarat dan dia setuju nak luaskan saluran air supaya mudah air mengalir ke laut. Dia memang korek hari itu. Kalau dia tak korek saya arahkan JPS buka saluran kepada orang awam. Bila dia buka saluran sekarang banjir cepat kering. Lepas buka (baru) kering. Memang saluran kecil. Dalam hal ini dia kata dia rugi. Kenyataan KTM Berhad kata dia rugi. Ini cakap tak bertanggungjawab. Dia rugi kerana pentingkan keuntungan.
Rakyat rugi dia tak sebut. Yang tak berniaga beratus juta punah wang habis. Rosak harta benda. Rakyat rugi ratusan juta. Terganggu kerja sampai sekarang. Kenapa tak cakap macam tu. Kenapa nak simpati dengan pihak Gamuda dan keretapi ini yang tak buat kerja dengan cara betul. Ini kerugian rakyat biasa yang setiap bulan kenak potong gaji bayar sewa rumah. Ada yang RM700-800 sebulan. Dapat gaji hanya hanya seribu atau lebih. Sekarang lepas banjir terpaksa baiki sana sini rumah rosak kerana tenggelam sampai lima enam hari Ini tidak termasuk kemusnahan harta benda. Kenapa tak bercakap kerugian rakyat dia bercakap kerugian dia. Maka tak peliklah bila nanti rakyat akan saman dia lepas ni. Saya difahamkan rakyat akan buat tuntutan di mahkamah. Biar mahkamah putuskan air daripada mana. Kesilapan (di pihak) dia, memanglah banjir kerana hujan lebat. Landasan ini salah satu faktor yang menyebabkan lambat air nak turun. Bila saya bercakap mula-mula pihak Keretapi Tanah Melayu menafikan.Bila petang pihak yang bina landasan iaitu Gamuda datang baiki. Jadi dia dok ulang. Makna dia bercakap atas maklumat yang tak betul.
Saya bercakap fasal rakyat saya. Maka sebab itu saya arahkan semua kerajaan tempatan supaya kaji semula tentang kelulusan yang kita bagi kepada Gamuda tentang kelulusan landasan keretapi ini supaya disemak semula pesetujuan kita yang benarkan dulu. Ini kerana telah membebankan rakyat. Esok ada mesyuarat saya akan arahkan semua PBT terlibat iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap supaya semak semula tentang kelulusan yang kita bagi ini. Kita tidak akan benarkan lagi sehingga mereka selesaikan masalah ini. Kerugian pertama ialah harta benda, rumah dan kereta. Keduanya kerosakan tanaman, kita serahkan kepada pihak Mada. Memang Mada bertanggungjawab kerana yang ini kita tidak ada peruntukan. TPM akan minta senarai.
TPM mai tak jumpa saya
Pegawai dia bila datang Kedah tidak jumpa kita. Mai rumah kita kenalah tanya kita. Demokrasi dia laung-laungkan. Dia patut kena tanya saya. Maka sebab itu tak pelik tidak ada seorang pun pegawai Kerajaan Negeri pergi sambut dia di stadium. Yang ada cuma seorang iaitu pengurus stadium.
Sepatutnya sebagai (pihak) Persekutuan dia kena datang jumpa saya atau hubungi Kerajaan Negeri. Saya hubungi Menteri Besar negeri lain minta tolong. Kerana kami tak cukup peralatan. Minta lori air dari Perak, Selangor bawa lori air. Air kita ada di paip-paip yang kita telah baiki tapi kita tidak ada tangki. Yang ada tidak cukup. Terima kasihlah kepada Kerajaan Negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Kerajaan Pusat ada duit banyak dia (kena) datang tolong. Kerajaan negeri tidak ada duit. Tapi tak payah ajar kita. Kita tahu apa nak buat. Dia mengatakan kita sensasikan cerita. Kita bagi bantuan tak tanyapun dia orang tu Umno atau PAS. Peruntukan diambil dari Kerajaan Negeri. Saya tak tunggu bantuan Kerajaan Pusat. Sekali pun saya tak minta. Siapa kata saya minta? Siapa kata saya lepas tangan? Tan Sri Mahyudin kata saya lepas.Pernahkah pejabat saya hantar surat ke Kuala Lumpur minta selesaikan masalah. Tak da. Saya cuma merayu NGO. Kalau berlaku gempa bumi di Pakistan, di Afghanistan dan Indonesia berduyun-duyun pergi tolong di sana. Kenapa tidak tolong rakyat di Kedah yang ditimpa bencana. Itu saja itu saya minta kepada NGO. Saya tak pernah tulis surat kepada PM tolong saya. Saya tak pernah tulis surat kepada Shahrizat mai sat tolong saya. Dia turun pun pi Tunjang bukan tempat banjir. Kaki kasut dia pun tak basah. Nak cakap apa. Saya sangat simpati dengan penduduk yang terkena banjir.Tempat pertama saya pergi di Padang terap. Semua pusat pemindahan saya pergi. Masjidnya, surau dan sekolah. Saya beramah mesra dengan mereka.

Saya pergi Bilik Gerakan.
Mereka yang bertugas gembira saya datang. Kanak-kanak nampak saya datang bersalaman. Kanak-kanak biasalah tetap gembira cuma ibu dan bapa nampak runsing. Masa itu kita sediakan keperluan makan minum dan selimut. Masalah makanan lambat siap dan tidak cukup bantal dan selimut adalah di peringkat awal. Tempat lain begitu juga. Alhamdulilah. Mereka nampaknya tenang. Layanan dari kita begitu baik dan para sukarelawan menolong mereka.
Di Jitra ada yang pindah ke sekolah, ingatkan selamat, tiba- tiba malam air naik terpaksa pindah pula. Jadi terpaksa gunakan jentera-jentera kenderaan berat. Saya menghargai semua jasa dan kerjasama pegawai2 kerajaan negeri. Saya waktu siang keluar pukul 4 petang balik 11 malam. Keluar 10 pagi balik petang. Malam pergi pula. Saya pindah dari satu Bilik Gerakan ke satu Bilik Gerakan saya hubungi pemangku SU Kerajaan dan DO apa yang diperlukan atau apa kekurangan. Semua cukup tapi kita standby arah keluarkan duit Kerajaan Negeri. Pelik juga tang mana saya lepas tangan. Mereka pasang bendera BN di stadium Sultan Abdul Halim tunggu TPM turun. Maknanya itu lebih mencari publisiti daripada untuk kemanusiaan. Saya pergi tak bawa bendera PAS, tak bawa bendera Kedah.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan dan pihak-pihak yang membantu. Terima kasih kepada mereka yang datang membantu. Bagi mangsa banjir Alhamdullilah kita selamat walaupun hilang harta benda tapi tidak hilang keluarga. Kita bersyukur.

1 comment:

bewak hidup said...

good input!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

::Jom Tukar Link::

KLIK INI UTK KONGSI LINK BLOG ANDA!!

JOM FOLLOW